Allah is everywhere...(",)

Allah is everywhere...(",)

Saturday, October 30, 2010

Nota Rencana


DEFINISI
Rencana ialah karangan yang mengandungi maklumat,ulasan,huraian atau penceritaan sesuatu perkara yang biasanya berdasarkan fakta-fakta sebenar.

Fakta-fakta yang dikemukakan biasanya berdasarkan penyelidikan,tinjauan dan rujukan yang dilakukan oleh penulis rencana. Fakta – fakta yang berkaitan juga perlu berdasarkan berbagai-bagai sumber yang mempunyai pertalian atau hubungan dengan topik rencana.

Buah fikiran daripada wawancara juga merupakan sumber bagi mendapatkan
fakta sebenar untuk penulisan rencana. Rencana bukanlah bersifat cereka tetapi memberikan tumpuan kepada sesuatu tajuk yang khusus

CIRI-CIRI PENULISAN RENCANA
Penulisan rencana mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Antaranya adalah seperti yang berikut:

1. Rencana digolongkan dalam bentuk esei formal.
·         Penulisan rencana melibatkan penggunaan bahasa baku yang lebih konvensional berbanding dengan esei yang tidak formal dan mempunyai struktur yang lebih terancang.
2. Rencana mempunyai perenggan-perenggan pendahuluan dan penutup yang rapi.
·         Setiap perenggan pula mempunyai ayat topik dan turutan yang lojik.
·         Ciri-ciri personal termasuk humor kurang diadakan dalam penulisan rencana
3. Tujuan penulisan rencana adalah serius.
·         Melalui rencana terdapat maklumat yang merangsang minda pembaca untuk turut berfikir dan menginterpretasikannya.
·         Rencana ilmiah terutamanya, ditulis oleh orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan pendapat yang dikemukakan biasanya berdasarkan kepada penyelidikan oleh penulis sendiri atau orang lain.
·         Setiap fakta,ulasan dan pendapat haruslah ada asasnya. Oleh itu, nota kaki,bibliografi serta lampiran perlu disertakan sebagai sokongan bagi sesuatu
fakta

4. Ada digniti.
·         Penulisan rencana mempunyai martabatnya kerana mempunyai nilai intelektual.
·         Ciri ini penting kerana penulisan rencana mementingkan ketepatan dan kejituan maklumat serta hujahan yang berdasarkan penyelidikan ,rujukan dan tinjauan oleh penulisnya

5. Rencana yang berbentuk ilmiah atau berunsur sejarahmisalnya mempunyai digniti yang tinggi kerana tetap kekal dan dijadikan bahan rujukan oleh pelajar dan pencinta ilmu.

·         Bagi rencana-rencana yang berunsur sejarah pula dibuat koleksi dan disimpan di Arkib Negara, Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka,Perpustakaan Negara dan sebagainya.


6. Ada ukuran kepanjangan.
·         Sesebuah rencana yang bermutu mempunyai ukuran kepanjangan yang
·         tertentu.
·         Sebaik-baiknya lebih panjang daripada nota dan lebih pendek daripadan monograf jika dilihat dari segi ukurannya.
·         Biasanya sesetengah editor majalah dan surat khabar mempunyai ketentuan tentang panjang rencana yang akan disiarkan.
·         Rencana kewartawanan misalnya mempunyai gaya penulisnya yang langsung dan terus kepada isi kandungan mengikut skop yang dipilih.
·         Dengan itu, sesebuah rencana tidak perlu terlalu panjang lazimnya menjejaskan minat pembacanya terhadap rencana yang berkenaan

7. Penulisan yang jelas dan jitu.
·         Penulisan rencana padat dengan maklumat yang berupaya menarik perhatian pembaca untuk terus membaca bagi mendapatkan maklumat.
·         Rencana yang meleret-leret,longgar dan tidak ekonomi perkataanya akan
menghambarkan selera pembaca. Idea yang disampaikan dalam rencana juga harus berturutan dan ada pertalian sambil dipertautkan dengan hujahan penulis

8. Pada keseluruhannya,penulisan rencana menggunakan perkataan yang konkrit,tepat untuk sesuatu idea,mudah difahami dan tidak menggunakan perkataan secara berlebihan.
·         Walau bagaimanapun,terdapat juga penulisan rencana yang menggunakan perkataan-perkataan yang mengindahkan gaya bahasa, menghidupkan dan memberikan tenaga kepada rencana tersebut

9. Menyampaikan maklumat.
·         Penulisan rencana dapat menyampaikan maklumat yang lebih banyak dan jelas kepada para pembaca.
·         Contohnya: Kepupusan Penyu Belimbing. Penulisan rencana boleh melakukan wawancara dengan beberapa pihak yang terlibat dan berdasarkan maklumat yang dikumpul maka ditulisnya sebuah rencana yang memaparkan masalah tentang kepupusan haiwan tersebut. Dengan memberikan maklumat kepada masyarakat pembaca,mungkin usaha untuk menyelamatkan penyu tersebut dapat diatasi.
·         Masalah-masalah sosial yang lain seperti isu pendatang asing,setinggan,budaya punk serta masalah para pekerja kilang merupakan tajuk rencana yang menarik. Kadangkala, hasil daripada penulisan rencana seperti ini dapat mendidik dan membantu proses perubahan dalam kalangan masyarakat

10. Maklumat yang dimuatkan dalam sesebuah rencana biasanya bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikenali sebagai unsur 5W + 1H,iaituwho(siapa),when(bila), what(apa), why(mengapa), where(di mana) danhow(bagaimana).
·         Persoalan-persoalan ini dapat membantu penulis meneroka sesuatu peristiwa secara menyeluruh. Jawapan bagi persoalan-persoalan ini juga secara tidak langsung dapat membantu memberikan maklumat yang diperlukan oleh pembaca.

11. Rencana bersifat ulasan subjektif.
·         Melalui penulisan rencana,penulis dapat melahirkan perasaan dan pandangan terhadap sesuatu isu yang ditimbulkan. Misalnya, sekiranya para pembaca mendengar sesuatu peristiwa penting di radio atau televisyen,maka keesokan harinya mereka boleh mengikuti rencana yang lebih mendalam mengenainya di akhbar.
·         Rencana seumpama ini biasanya memuatkan ulasan-ulasan yang mengandungi pendapat dan perasaan penulis.
·         Perasaan dan pendapat penulis ini mempunyai tujuan yang tertentu seperti meminta pembaca berfikir dan membuat pertimbangan, membuat rayuan untuk mendapat simpati pembaca terhadap sesuatu peristiwa dan sebagainya.
·         Ciri-ciri membezakan rencana daripada penulisan berita atau laporan adalah berita atau laporan hanya memaparkan perkara-perkara yang berlaku tetapi tidak dimuatkan pendapat penulis itu sendiri

12. Tempoh tarikan tidak terhad.
·         Ruang dan tempoh tarikan penulisan rencana tidak terhad sebagaimana yang berlaku pada penulisan berita. Seseorang penulis rencana boleh memilih sudut pandangan yang dikehendakinya untuk dibicarakan dalam penulisannya. Tumpuan dari satu idea kepada idea yang lain merupakan tugas penulis supaya isu yang
ditimbulkan tetap menarik.
Selain itu, penulis rencana tidak perlu mengejar tarikh akhir penerbitannya dan rencana yang dihasilkan boleh  disimpan untuk beberapa hari di dalam fail dan akan digunakan apabila perlu.
·         Sesuatu rencana itu tidak akan basi walaupun peristiwa yang berkenaan hanyalah berupa imbasan kembali

13. Organisasi penulisan yang logik.
·         Maklumat yang disampaikan dalam rencana adalah logik dan berdasarkan rujukan penyelidikan,tinjauan dan temu ramah dengan pihak-pihak yang berkaitan.
·         Rencana yang berdasarkan maklumat yang tepat tentang sesuatu perkara biasanya disokong dan dimantapkan dengan keterangan,data,jadual,peta dan sebagainya bagi menjelaskan maksud penulisannya dan kesahihan perkara tersebut.
14.  Pembatasan pembicaraan
·         Rencana ditulis berdasarkan skop yang dipilih sahaja. Walaupun sesuatu isu itu hangat dan besar,tetapi penulisan rencana biasanya cuba menjuruskan sudut penulisannya kepada sesuatu aspek sahaja.


JENIS-JENIS RENCANA
1.Rencana jenis penerangan
Kebanyakan rencana dalam akhbar danmajalah mengetengahkan fakta denganlebih jelas dan menyeluruh. Segala aspek tentang topik tersebut diberi penerangan yang berupa kumpulan fakta dari berita harian. Rencana jenis ini sering kali ditulis oleh sidang editor majalah semasa timbulnya sesuatu isu atau perkara yang susah difahami umum.

2. Rencana jenis berita.
Rencana jenis berita berasaskan kenyataan atau isu semasa dengan memberi keutamaan terhadap sesuatu kejadian yang baru, luar biasa dan bernilai beritanya. Biasanya, rencana berita mengandungi huraian lanjut tentang berita yang hangat diperkatakan. Dalam penulisan berita,penulis dikehendaki melaporkan apa yang benar-benar berlaku di samping memberikan pendapatnya.

3. Rencana jenis profil.
Rencana jenis profil menceritakan hal-hal tentang pencapaian dan kejayaan seseorang tokoh. Biasanya rencana ini memuatkan gambaran tentang diri,individu yang menunjukkan keperibadian,keistimewaan dan ketokohan. Orang yang diprofilkan merupakan orang yang terkenal. Rencana jenis ini menceritakan latar belakang seseorang tokoh itu dan apa yang dilakukannya serta bagaimana dia menjadi terkenal.

4. Rencana jenis penyiasatan.
Rencana jenis penyiasatan ditulis untuk merangsang pihak-pihak tertentu agar bertindak untuk memperbaiki dan mengubah keadaan,cara berfikir serta pendapat orang ramai. Penulis rencana seumpama ini perlu menyediakan bukti-bukti dan contoh- contoh yang sebenarnya. Sebagai contoh, dalam rencana tentang Ponteng Sekolah dalam Kalangan Murid-murid Sekolah, penulis dapat memberikan sebab sebab berlakunya ponteng sekolah,tempat-tempatyang selalu dikunjungi oleh murid murid yang ponteng dan peratusan yang terlibat


5. Rencana jenis pendapat.
Rencana jenis pendapat menggunakan persembahan yang bersahaja, iaitu pendapat disampaikan secara tepat dan jelas dengan mengemukakan fakta dan data seperti peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa atau jadual bilangan nahas jalan raya dalam satu tempoh tertentu. Rencana ini akan menjadi hambar jika pendapat penulis tidak berdasarkan penyelidikan dan rujukan yang mendalam.

6. Rencana jenis perbahasan
Dalam rencana jenis perbahasan,penulis biasanya mengetengahkan teori kemasyarakatan dan menyampaikan hujah-hujah dengan berasaskan falsafah,politik,penyelesaian masalah ekonomi ataupun strategi dalam permainan dan sukan. Melalui rencana jenis ini, penulis lebih berani memperkatakan pendapatnya sama ada bersetuju atau menentang pendapat-pendapat pihak lain.




7. Rencana jenis kritikan.
Rencana jenis kritikan memberi peluang kepada penulis untuk menyatakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan sesuatu isu atau perkara dengan mengemukakan alasannya. Namun begitu, oleh sebab tidak mudah untuk menolak sesuatu secara bulat-bulat,penulis biasanya menyediakan fakta-fakta yang menyokong pendiriannya dan cara-cara bagaimana untuk menghadapi alasan-alasan lain kemudiannya. Kritikan dan penulisan rencana seumpama ini lazimnya bersikap adil dan mengemukakan kelemahan yang perlu diperbaiki dan kekuatan yang patut diberikan pujian.

8.Rencana jenis umum.
Rencana ini berkaitan dengan perkara yang telah menjadi pengetahuan umum seperti hal-hal tentang burung,peredaran bulan dan matahari. Walaupun begitu, sudut penulisan yang digunakan oleh penulis dapat menyegarkan maklumat tersebut untuk menarik minat pembaca

No comments:

Post a Comment